Sunday, October 12, 2008

YANG SILAP KITA BETULKAN XVI

"AKAN" MENJADI "AKHIRAN -KAN"
Perhatikan frasa berikut
  1. benci orang itu
  2. cinta orang itu
  3. percaya orang itu

perhatikan pula frasa berikut:

  1. a. bencikan orang itu
  2. b. cintakan orang itu
  3. c. percayakan orang itu

perhatikan lagi frasa berikut:

  1. a.i benci akan orang itu
  2. b.ii cinta akan orang itu
  3. c.iii percaya akan orang itu

Dalam 3 set ayat di atas, set yang manakah yang betul?

Set yang betul ialah set 1. a.i, 2. a.ii, 3. c.iii

Huraiannya boleh dilihat dalam "Petunjuk Tatabahasa Bahasa Melayu" oleh ASRAF. hal. 294-296.

Monday, October 6, 2008

YANG SILAP KITA BETULKAN XV

KATA-KATA ALUAN ATAU KATA ALU-ALUAN
Dalam bahasa Malaysia, tidak wujud perkataan "aluan". Yang ada cuma perkataan "alu". Perkataan alu mengalami proses penggandaan iaitu "alu-alu" , "alu-aluan", "mengalu-alukan" dan "dialu-alukan"

Monday, September 22, 2008

YANG SILAP KITA BETULKAN XIV

PENSYARAH, PROFESOR MADYA DAN PROFESOR
DEFINISI:
PENSYARAH
- GURU DI UNIVERSITI, ORANG YANG MEMBERIKAN KULIAH.
PROFESOR MADYA
-PENSYARAH DI UNIVERSITI YANG TARAFNYA DI BAWAH PROFESOR.
PROFESOR
-TENAGA AKADEMIK YANG PALING TINGGI TARAF JAWATANNYA, BIASANYA MENGETUAI PUSAT PENGAJIAN TINGGI, MAHAGURU.
PERHATIKAN AYAT DI BAWAH:
1. Prof. Dr. Hashim Musa adalah seorang pensyarah di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Apa kesilapan ayat di atas?
Prof. Dr. Hashim Musa adalah seorang profesor, bukannya pensyarah.
Profesor adalah satu jawatan.
Jadi, jika seseorang itu sudah bergelar Prof., maka jawatanya adalah profesor, bukannya pensyarah.
Ayat yang betul:
2. Prof. Dr. Hashim Musa adalah seorang profesor di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Harap maklum.

Thursday, September 18, 2008

YANG SILAP KITA BETULKAN XIII

PROTON DENGAN EON
PROTON MERUPAKAN AKRONIM BAGI PERUSAHAAN OTOMOBIL NASIONAL.
EON PULA MERUPAKAN AKRONIM BAGI EDARAN OTOMOBL NASIONAL.
Berdasarkan Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia, OTOMOBIL sepatutnya dieja sebagai AUTOMOBIL.
Bayangkanlah jika PROTON dieja sebagai PROTAN dan EON dieja sebagai EAN.
PERLUKAH DIBETULKAN EJAANNYA?

Wednesday, September 17, 2008

YANG SILAP KITA BETULKAN XII

Kata Yang mendukung Makna Banyak:
contoh: mereka, umat, rakyat
Dalam sesuatu ucapan, kita sering mendengar kata-kata tersebut digandakan.
Contoh:
Mereka-mereka inilah yang selalu menimbulkan masalah.
Umat-umat Islam akan mula berpuasa esok.
Rakyat-rakyat sekalian diminta bertenang.
Sepatutnya, kata-kata tersebut tidak perlu digandakan.

Tuesday, September 16, 2008

YANG SILAP KITA BETULKAN XI

BILA atau APABILA

perhatikan contoh dalam dua ayat berikut:

1. Bila senja tiba, kelawar berterbangan mencari makanan

2. Apabila senja tiba, kelawar berterbangan mencari makanan.

Ayat (1) atau ayat (2) yang betul?

-Bila ialah kata tanya. Apabila pula ialah kata hubung pancangan keterangan.

Jadi ayat (2) yang betul.

Untuk kata tanya bila, ayat yang betul ialah seperti berikut:

Sampai bilakah Ali boleh memegang jawatan itu?

Diharap penjelasan ringkas ini dapat menyelesaikan sebarang kekeliruan.

YANG SILAP KITA BETULKAN X

AYAT TERGANTUNG
Ayat tergantung ialah ayat yang tidak mempunyai subjek atau predikat.
Contoh 1:
Mengikut jurucakap Kementerian, mengatakan prestasi tahun ini amat baik.
yang betul:
Mengikut jurucakap Kementerian, prestasi tahun ini amat baik.
atau:
Jurucakap Kementerian mengatakan prestasi tahun ini amat baik.
Contoh 2:
Dalam kajian itu, melaporkan bahawa matlamat kajian telah tercapai.
yang betul:
Dalam kajian itu, dilaporkan bahawa matlamat kajian telah tercapai.
atau:
Kajian itu melaporkan bahawa matlamat kajian telah tercapai.
Contoh 3:
Yang menimblkan kerumitan kepada para peserta.
yang betul:
Yang menimbulkan kerumitan kepada para peserta ialah aspek menganalisis masalah.

Monday, September 15, 2008

YANG SILAP KITA BETULKAN IX

Terima Kasih Majlis Ucapkan atas ucapan Tuan Pengetua itu tadi.
Itulah ungkapan yang biasa kita dengar dalam mana-mana majlis. Pengacara majlis begitu yakin melafazkannya.
Cuba pembaca budiman kesan apa kesilapan yang terdapat dalam dalam ungkapan tersebut?

Ayat di atas diucapkan dalam bentuk ayat pasif diri kedua, sedangkan ayat di atas ialah ayat pasif diri ketiga.

Ayat pasif diri ketiga mengandungi kata ganti nama diri ketiga seperti dia, mereka, beliau, nya, baginda, termasuklah majlis dll.

Ayat pasif diri ketiga diikuti kata sendi nama oleh. contohnya,

1. Barang itu sudah diambil oleh Ali semalam.

Walau bagaimanapun, oleh boleh digugurkan mengikut kadaan tertentu, seperti berikut:
untuk ayat pasif yang menggunakan kata kerja pasif di-, kata sendi nama oleh pada binaan oleh+FN yang letaknya selepas kata kerja boleh digugurkan tanpa menjejaskan makna atau struktur ayat:
2. Barang itu sudah diambil Ali semalam.
Jadi ayat yang digunakan oleh Pengacara Majlis itu sepatutnnya berbunyi.
Terima kasih diucapkan oleh majlis atas ucapan tersebut.
Tapi, bunyinya agak janggal.
Pengacara Majlis boleh menggunakan ayat aktif transitif. Bunyinya pun sedap didengar.
Majlis mengucapkan terima kasih atas ucapan Tuan Pengetua itu tadi.
Sedap bunyinya, bukan?

Sunday, September 14, 2008

YANG SILAP KITA BETULKAN VIII

kata ganda Berentak
Penggandaan berentak ialah proses mengulang sesuatu perkataan untuk membentukkata ganda bunyi tertentu dalam kata dasar. Dalam penggandaan berentak, seluruh kata dasar diulang atau diubah. Berdasarkan pengubahan atau pengulangan buny-bunyi demikian, terdapat 3 jenis penggandaan berentak.
1. pengulangan vokal cth.- sayur-mayur, gotong-royong
2.pengulangan konsonan cth.-gunung-ganang, bukit-bukau, mundar-mandir
3. penggandaan berentak bebas cth.- lintang-pukang, tetek-bengek,
perlu dingatkan, penggandaan ditandai dengan tanda sempang. salah jika dieja begini rumah rumah atau lintang pukang.
yang mengelirukan:
terdapat kata seperti miskin kaya, tua muda, sahabat handai, cantik manis, panas terik Jika sekali imbas, nampak macam kata ganda. Sebenarnya ungkapan-ungkapan tersebut adalah frasa yang berbeza sekali dengan kata ganda. Ini kerana ungkapan-ungkapan tersebut boleh disisipkan dengan kata dan. (miskin dan kaya). Bagi mereka yang keliru, mereka akan meletakkan tanda sempang.
Bagi kata kacau-bilau, ia merupakan kata ganda. Kacau boleh berdiri sendiri, tetapi bilau tidak. begitu juga dengan mandi-manda. Ia merupakan kata ganda.
Walaupun bilangan kata ganda berentak dalam bahasa Malaysia tidak banyak, namun, ia perlu diberi perhatian jikalau kita mahu menggunakannya dengan baik dan betul.
dipetik dari: Prof. Datuk Dr. Nik Safiah Karim- Berita Harian, 23.3 1998.

YANG SILAP KITA BETULKAN VII

PENGGUNAAN KATA SENDI YANG SALAH (4)

kata sendi nama kepada

-hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad,dan perubaan keadaan. Salah jika digunakan kata sendi nama ke.

ke kerani itu (salah) kepada kerani itu (betul)

ke orang tuanya (salah) kepada orang tuanya (betul)

ke bahaya dadah (salah) kepada bahaya dadah (betul)

YANG SILAP KITA BETULKAN VI

PENGGUNAAN KATA SENDI YANG SALAH (3)

kata sendi nama dari

Kata sendi nama dari digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat, dan waktu atau masa. Ciri ini membezakannya daripada kata sendi nama daripada yang hanya digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang manyatakan punca bagi manusia, haiwan, atau benda, asal kejadian dan sumber, atau unsur perbandingan.

contoh:

bertiup daripada selatan (salah) bertiup dari selatan (betul)

daripada kiri ke kanan (salah) dari kiri ke kanan (betul)

daripada sudut ekonomi (salah) dari sudut ekonomi (betul)

daripada pukul 10.00 pagi (salah) dari pukul 10 pagi (betul)

daripada kuruh ke-18 (salah) dari kurun ke-18 (betul)

-

YANG SILAP KITA BETULKAN V

PENGGUNAAN KATA SENDI YANG SALAH (2):
Kata sendi nama Ke
salah satu kegunaan ke adalah di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat atau arah dan waktu atau masa. Ke tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan manusia atau haiwan.
contohnya:
ke pihak polis (salah) kepada pihak polis (betul)
ke Ali (salah) kepada Ali (betul)
ke kucing (salah) kepada kucing (betul)

YANG SILAP KITA BETULKAN IV

PENGGUNAAN KATA SENDI NAMA YANG SALAH (1)
kata sendi nama ialah perkataan yang hadir di hadapan frasa nama. Jumlahnya agak besar dan dan tiap-tiap kata sendi nama mempunyai tugas yang berlainan dan kehadirannya dalam ayat sering disalahgunakan. Berikut dibincangkan beberapa kesalahan yang berkaitan dengan penggunaan kata sendi nama.
kata sendi di
-digunakan di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat. Di tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menerangkan waktu, masa atau zaman. Contohnya
di pagi raya (salah) pada pagi raya (betul)
di kurun ke-15 (salah) pada kurun ke-15 (betul)
di zaman ini (salah) pada zaman ini (betul)

YANG SILAP KITA BETULKAN III

KATA BILANGAN
Kita sering menggunakan angka untuk menyatakan jumlah. Contohnya satu (1), lima (5), sepuluh (10), lima puluh (50), seratus (100), lima juta (5,000,000) atau perkataan-perkataan tertentu seperti banyak, semua, ramai dan sebagainya. Angka-angka atau perkataan-perkataan tersebut dikenali sebagai kata bilangan.
Ia menjadi penerang jumlah. Perhatikan ayat berikut:
(1) Dia membeli barang itu dengan harga sepuluh ringgit. Dalam ayat ini, sepuluh ialah kata bilangan. Kata bilangan jenis ini menunjukkan jumlah yang tentu sifatnya. Ia dikenali dengan kata bilangan kardinal.
Kata bilangan hadir sebagai penerang kata nama, dan hadir sebelum kata nama tersebu, misalnya sepuluh ringgit, seratus orang, dan lima hari. Terdapat juga penjodoh bilangan hadir sebelum kata nama, misalnya dua naskhah buku, lima ekor ayam, dan sepasang kasut.
Terdapat beberapa jenis kata bilangan dalam bahasa Malaysia mengikut ciri maknanya. Terdapat kata bilangan menunjukkan bilangan tak tentu, contohnya, beberapa, segala, para, semua, sedikit, ramai dan sebagainya.
Perhatikan ayat berikut:
2. Semua peserta kursus itu dikehendaki memakai pakaian kemas.
3. Segala maklumat yang diberikan oleh pelajar akan dirahsiakan.
kekeliruan yang timbul:
a. menjamakkan kata nama yang mengkuti kata bilangan tersebut.
contoh ayat:
4. Banyak orang-orang yang tidak hadir pada majlis itu.
5. Para guru-guru yang mengikuti kursus itu perlu menandatangani borang kehadiran yang disediakan.
Dalam bahasa Malaysia, unsur jamak hanya ditandai sekali sahaja. Oleh sebab itu, penggandaan pada kata nama tidak lagi perlu.
Semoga penerangan ringkas ini dapat menjelaskan beberapa kekeliruan.
Dipetik dari: Prof. Datuk Dr. Nik Safiah Karim. Berita Harian - 9 Oktober 1997.

YANG SILAP KITA BETULKAN II

KATA SENDI NAMA DI DAN KE:
Masih ramai pelajar yang tidak pasti. Mereka seringkali membuat kesilapan semasa menulis karangan atau menjawab soalan-soalan pemahaman.
di dan ke yang mana yang perlu dipisahkan atau dirapatkan.
terdapat dua fungsi di dan ke.
1. Digunakan sebagai kata sendi
2. Digunakan sebagai imbuhan
Di dan ke yang berfungsi sebagai kata sendi hendaklah dijarakkan daripada kata yang mengikutinya.
contoh ayat:
1. Ali berdiri di belakang saya.
2. Ahmad menendang bola ke tengah padang.
Bagaimana pula dengan perkataan samping?
Disamping/kesamping atau di samping/ ke samping?
samping ialah kata arah sama dengan atas, belakang, tengah, hadapan dan lain-lain.
yang betulnya iaah dijarakkan.
Di dan ke yang berfungsi sebagai imbuhan hendaklah dirapatkan dengan yang mengikutinya.
contoh:
3. Majlis itu dirasmikan oleh Pengarah Pelajaran.
4. Doktor telah mengesahkan bahawa Raju mengalami penyakit kekurangan darah.
Semoga pengguna bahasa yang budiman dapat manfaat daripada catatan ini.