Sunday, September 14, 2008

YANG SILAP KITA BETULKAN III

KATA BILANGAN
Kita sering menggunakan angka untuk menyatakan jumlah. Contohnya satu (1), lima (5), sepuluh (10), lima puluh (50), seratus (100), lima juta (5,000,000) atau perkataan-perkataan tertentu seperti banyak, semua, ramai dan sebagainya. Angka-angka atau perkataan-perkataan tersebut dikenali sebagai kata bilangan.
Ia menjadi penerang jumlah. Perhatikan ayat berikut:
(1) Dia membeli barang itu dengan harga sepuluh ringgit. Dalam ayat ini, sepuluh ialah kata bilangan. Kata bilangan jenis ini menunjukkan jumlah yang tentu sifatnya. Ia dikenali dengan kata bilangan kardinal.
Kata bilangan hadir sebagai penerang kata nama, dan hadir sebelum kata nama tersebu, misalnya sepuluh ringgit, seratus orang, dan lima hari. Terdapat juga penjodoh bilangan hadir sebelum kata nama, misalnya dua naskhah buku, lima ekor ayam, dan sepasang kasut.
Terdapat beberapa jenis kata bilangan dalam bahasa Malaysia mengikut ciri maknanya. Terdapat kata bilangan menunjukkan bilangan tak tentu, contohnya, beberapa, segala, para, semua, sedikit, ramai dan sebagainya.
Perhatikan ayat berikut:
2. Semua peserta kursus itu dikehendaki memakai pakaian kemas.
3. Segala maklumat yang diberikan oleh pelajar akan dirahsiakan.
kekeliruan yang timbul:
a. menjamakkan kata nama yang mengkuti kata bilangan tersebut.
contoh ayat:
4. Banyak orang-orang yang tidak hadir pada majlis itu.
5. Para guru-guru yang mengikuti kursus itu perlu menandatangani borang kehadiran yang disediakan.
Dalam bahasa Malaysia, unsur jamak hanya ditandai sekali sahaja. Oleh sebab itu, penggandaan pada kata nama tidak lagi perlu.
Semoga penerangan ringkas ini dapat menjelaskan beberapa kekeliruan.
Dipetik dari: Prof. Datuk Dr. Nik Safiah Karim. Berita Harian - 9 Oktober 1997.

No comments: